Idris tak setuju UMT, UniSZA gabung

Idris
Idris
A
A
A

BESUT - Bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menganggap cadangan menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sikap ambil mudah Kementerian Pendidikan.

Ahli Parlimen Besut itu berkata, tindakan diambil atas alasan penjimatan itu memperlihatkan pihak terlibat tidak menghargai sejarah penubuhan dan implikasi masa depan kepada kedua-dua universiti tersohor itu.

Menurutnya, UniSZA dan UMT terbina dengan tujuan, sejarah dan falsafah tersendiri umpamanya UniSZA terkenal dengan moto ‘Ilmu Demi Faedah Insan’.

“UniSZA bermula dengan nama Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) iaitu sebuah kolej yang berpaksikan kepada agama Islam dengan mengintegrasikan ilmu-ilmu konvensional untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tetapi mempunyai nilai akhlak tinggi.

“Ia berakar umbikan sistem pendidikan Islam tradisi Terengganu yang secara tidak langsung menjadi satu kebanggaan buat rakyat Terengganu keseluruhannya.

“Apatah lagi namanya diambil sempena nama seorang sultan yang terkenal dengan peribadi yang warak dan berilmu pengetahuan tinggi iaitu Almarhum Sultan Zainal Abidin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Idris berkata, lantaran itu, KUSZA dinaik taraf sebagai universiti dan terdapat kesinambungan daripada falsafah ilmu dan penawaran kursus dengan penyesuaian ilmu semasa di bidang pengurusan, digital, perubatan, keusahawanan dan lain-lain.

Menurutnya, penubuhan UMT juga berasaskan kepada faktor unik Terengganu yang sinonim dalam bidang maritim dan sumber-sumber berkaitan dengannya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejarah UMT berasal dari Fakulti Sains Samudera seterusnya kepada Kustem (Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia) dan akhirnya UMT. Universiti ini terus diberi mandat menerajui bidang Sains Marin dan Oseonografi hingga mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Tidak dinafikan, UMT sememangnya berpotensi memainkan peranan yang penting ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim disegani dunia.

“Melihat kepada signifikan sejarah ini, semasa menjadi Menteri Besar Terengganu, saya berusaha agar kedua-dua institusi ini dinaik taraf sebagai dua buah universiti berasingan, walaupun ketika itu telah wujud cadangan agar kedua-duanya disatukan menjadi hanya sebuah universiti,” katanya.

Idris berkata, beliau maklum adanya tuduhan pihak-pihak tertentu bahawa idea penggabungan ini telah dimulakan oleh kerajaan terdahulu tetapi takut untuk melaksanakannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar UMT, UniSZA tolak penggabungan