Jerebu: KKM nasihatkan orang ramai jaga kesihatan

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan nasihat kepada orang ramai supaya menjaga kesihatan susulan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nasihat berkenaan bertujuan mengurangkan pendedahan orang ramai terhadap bahan pencemaran semasa jerebu.

"Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan aktiviti di luar bangunan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100, iaitu indeks kualiti udara yang tidak sihat.

"Ini terutama anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori serta jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, orang ramai juga disaran mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing, dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/ serta mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

"Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan kepada aktiviti yang sangat penting sahaja dan pendekkan tempoh berada di luar bangunan.

"Elakkan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan (respiratory efforts) semasa berada di luar," katanya.

Jelasnya, sekiranya masih perlu melakukan aktiviti di luar orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan penutup hidung dan mulut.

Artikel Berkaitan:

"Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 adalah paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk dan berjerebu dengan menapis udara yang disedut oleh manusia.

"Namun begitu penutup hidung dan mulut N95 juga mempunyai beberapa kelemahan, misalnya ia hanya berfungsi dengan baik sekiranya dipakai dengan sempurna atau 'fit'," katanya.

Tambahnya, bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selesema, asma, sakit mata dan jangkitan paru-paru mereka disaran untuk datang ke klinik bagi pemeriksaan serta rawatan sewajarnya.

"Bagi mendapatkan langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu pula, orang ramai boleh merujuk laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183," katanya.