BJ Habibie dikagumi

Bacharuddin Jusuf Habibie
A
A

INDONESIA - Indonesia berduka, apabila Presiden ketiga Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, 83, atau BJ Habibie meninggal dunia, semalam.

Menerusi laporan Kompas, BJ Habibie meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat (RSPAD), Gatot Soebroto berikutan pelbagai masalah kesihatan yang dialaminya.

Perkara itu dimaklumkan anak lelakinya, Tharef Kemal bahawa bekas presiden itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6.01 petang (waktu Indonesia Barat) selepas menjalani rawatan intensif sejak dimasukkan ke hospital 1 September lalu.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo berkata, BJ Habibie merupakan seorang negarawan yang perlu menjadi contoh.

"BJ Habibie sentiasa hadir dan memberi nasihat apabila negara menghadapi masalah yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial," katanya.

Sementara itu, Gebenor Jawa Timur, Khofifah Indar Parawansa menyifatkan, BJ Habibie bukan sahaja tokoh penyayang malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Indonesia.

"Selain tokoh yang unggul dalam bidang sains dan teknologi, BJ Habibie juga dikenali sebagai tokoh romantis dan penyayang.

"Tokoh BJ Habibie adalah tokoh rujukan teladan dalam bidang pembangunan sains dan teknologi serta kepercayaan dan ketaatan (Imtaq)," katannya.

BJ Habibie, merupakan Presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto pada 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Pada Mac 2018, BJ Habibie pernah menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan sesak nafas (asphyxia).

ARTIKEL BERKAITAN: Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie meninggal dunia


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia