Penguat kuasa DBKL, sila ambil perhatian

A
A

MENZIARAHI semula Pasar Chow Kit yang satu ketika dulu menjadi nadi Kuala Lumpur, betul-betul menyentuh perasaan saya. Pasar basah yang berlendir itu sinonim dengan zaman bujang saya.

Berkongsi rumah dengan kutu-kutu brahak di Jalan Raja Uda Kampung Bharu, pasar tersebut adalah destinasi wajib setiap hujung minggu.

Malah, ketika meninggalkan era bujang terlajak dan baru berumahtangga, saya dan isteri masih mengunjungi pasar berkenaan untuk mencari ikan kembung, ayam, telur itik, petai, kerdas dan binjai untuk sambal belacan.

Saya dan isteri tidak lagi menjenguk Pasar Chow Kit setelah kami berpindah di Bandar Sunway, berjiran dengan Subang Jaya.

Selepas lebih 30 tahun, cuti Hari Kebangsaan minggu lalu, saya ingin mengimbau kembali nostalgia Chow Kit Road. Dan, banyak yang mengejutkan dan meruntun sanubari. Seperti dijangka, harga sudah melambung berpuluh kali ganda.

Kembung separuh busuk yang dulu hanya RM2 per kilo, kini RM15, itu pun perutnya sudah pecah. Petai yang dulu tiga papan RM1, kini empat papan RM5, itu pun tawaran harga merdeka, hari biasa lagi mahal. Ikan bawal, tengiri, ketam, udang sudah jadi makanan elit, jangan tanya harga. Orang macam saya hanya mampu tengok.

Telur itik, telur masin, telur ayam kampung semua sudah berkali ganda harganya. Saya tidak menemui binjai untuk dibuat sambal belacan lawan petai.

Agaknya pokok binjai sudah pupus oleh pembangunan, maka generasi enam dekat merdeka termasuk anak saya tidak kenal binjai, tidak tahu kerdas. Mereka lebih serasi dengan piza dan keju. Apa boleh buat!

Tetapi paling mengejutkan saya sebenarnya mengecewakan, sekali gus membakar perasaan ialah pasar antara yang tertua di KL itu sudah hilang identiti Malaysia.

Lebih separuh daripada kedai dan gerai, juga yang meraih di sekitar pasar berkenaan bukan lagi milik orang kita, sebaliknya warga asing yang menjadi tauke.

Baik gerai ikan, gerai ayam, daging, hatta penjual petai dan pucuk ubi semua warga asing. Paling ramai orang Indonesia yang mudah dicam daripada cara mereka bertutur sesama mereka. Ramai juga peniaga warga lain, termasuk dari Bangladesh.

Saya syak warga dari Tanah Besar China pun ada!

Sedih, ketika merayakan Merdeka ke-62 tahun, saya seperti orang asing di negara sendiri, dikelilingi oleh peniaga dan peraih warga asing.

Ketika mengopi di Jalan Haji Hussein, juga sekitar Jalan Raja Bot, baru saya sedar peniaga di situ pun kebanyakannya orang luar. Hilang sudah Restoran Sempurna milik seniman Yusuf Suria (arwah, semoga rohnya dicucuri rahmat).

Dulu ada juga peniaga Melayu menjual capal, makjun, rempah ratus, pinggan mangkuk, barangan plastik. Sekarang rata-rata diganti oleh orang luar. Hanya budak jaga kereta yang nampaknya masih orang kita.

Itu pun sudah ada tanda-tanda budak asing akan menguasai jaga kereta secara gelap. Mana perginya peniaga dan penjaja Melayu atau orang Malaysia asal di Chow Kit?

Sambil minum dan tawar-menawar harga buah, saya difahamkan, lesen dan permit berniaga yang sah telah dikeluarkan oleh pihak DBKL kepada penduduk tempatan. Dari segi undang-undang pihak Bandaraya tidak dibenarkan mengeluarkan lesen penjaja dan peniaga kepada bukan orang tempatan.

Tetapi pemilik lesen @ permit tidak berminat malas untuk berniaga, dan menyewakan lesen sah itu kepada orang luar, dengan bayaran tetap tertentu setiap bulan.

Maka jadilah cerita lama lesen Melayu punya, orang luar jadi tauke. Pemiik asal lesen mencari jalan mudah menyewakan lesen dengan bayaran seribu dua sebulan, orang asing untung ribu-ribu.

Sepatutnya DBKL bertegas, pemilik lesen yang tidak mahu berniaga tidak boleh menyerahkan lesen kepada orang lain. Tarik balik lesen tersebut, dan berikan kepada mereka yang betul-betul berminat.

Oleh kerana tiada ketegasan, masalah ini telah berlarutan begitu lama. Orang tempatan yang betu-betul hendak berniaga dinafikan hak, orang asing pula dibenarkan berniaga.

Maka DBKL kena insaf, kena buka mata, jangan tidur terlalu lama. Takut-takut kalau tidur terlalu lama, atau buat-buat tidak tahu, nanti orang tuduh ada rasuah!


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia