Jho Low dan sharp power China

A
A

KITA dikejutkan dengan pendedahan bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang mendakwa terlibat dalam perbincangan pelaburan China-Malaysia bagi menyelamatkan 1MDB melalui mesyuarat bertarikh 28 Jun 2016 di China.

Pendedahan beliau ini mengesahkan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) Januari lalu akan adanya mesyuarat sedemikan pada tarikh yang sama.

Dalam pendedahan beliau, Amhari secara jelas menyatakan bahawa Jho Low memainkan peranan besar dalam urusan tertinggi antara negara kita dengan China termasuklah menyediakan ‘skema jawapan dan pelan tindakan’.

Beliau dipetik berkata: “Seperti ditunjukkan oleh Jho (Low) melalui set soal jawab dan pelan tindakan kepada saya, perjanjian dan usahasama (antara Malaysia dan China) adalah untuk tujuan pelaburan yang akan membantu membayar hutang (bailout) 1MDB seperti hutang kepada IPIC.” Malah, beliau mengesahkan bahawa lawatannya ke China pada 2016 hanya diketahui oleh Jho Low dan Najib.

Amhari mendedahkan hal ini sewaktu merujuk kepada dokumen bertajuk Action Point: China-Malaysia Economic Program yang dihantar melalui e-mel kepada Amhari oleh Jho Low untuk memastikan Najib memberikan peranan kepada Terence Geh yang merupakan sekutunya untuk bertindak sebagai penyelaras bagi keseluruhan program penyelesaian hutang 1MDB/ SRC melalui rundingan pelaburan Malaysia dan China.

Mesyuarat yang diadakan dengan SASAC (Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentabiran Aset milik China) ini bukan sekadar membincangkan kerjasama perdagangan Malaysia-China tetapi juga berkenaan ‘keperluan memberikan sokongan padu kepada Najib bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di rantau ini’.

Perjanjian

Secara khusus, menurut Amhari lawatan Najib Razak ke China pada November 2016 adalah untuk mendapatkan beberapa perjanjian dengan negara itu dan syarikatnya. Ketiga-tiga perjanjian tersebut ialah:

1. Perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan antara China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd dan CPP dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER);

2. Perjanjian pembiayaan penuh antara China Exim dengan ECRL dan antara China Exim dengan SSER;

3. Perjanjian penuh Bon Renminbi antara China dan ECRL, dan antara SSER dengan pihak China.

Amhari mendedahkan hal ini ketika beliau mengesahkan butir-butir dokumen bertajuk Private and Highly Confidential (Not For Circulation) bertarikh 22 September 2016 yang beliau terima daripada Terence Geh semasa mesyuarat di Pejabat Perdana Menteri.

Terence Geh pula menurut Amhari ialah sekutu Jho Low yang dilantik sebagai sekretariat bagi ketiga-tiga projek usahasama China-Malaysia iaitu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Bentuk (MPP) dan Saluran Gas Paip Trans Sabah (TSGP).

Sebelum ini kita didedahkan dengan pengakuan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri bahawa pihak berkuasa Hong Kong (yang berada di bawah kekuasaan de facto China) sengaja tidak menangkap Jho Low meskipun sudah dimohon dan diberikan segala maklumat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Begitu juga dengan laporan WSJ pada Januari lalu iaitu Jho Low menawarkan dua projek gergasi kepada China – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek Saluran Paip Trans-Sabah (TSGP).

WSJ menyebut secara khusus nama pegawai China yang terlibat ialah Xiao Yaqing iaitu Pengerusi Suruhanjaya Penyeliaan dan Pentadbiran Aset milik China (SASAC) sama seperti mana pendedahan Amhari yang mengesahkan adanya mesyuarat dengan SASAC.

Bagi merungkai pertalian Jho Low-China-1MDB ini, ulasan sarjana terkemuka Joseph Nye dan laporan majalah berpengaruh The Economist tentang sharp power China perlu diberi perhatian. Sharp power atau ‘kuasa penembusan’ China merujuk pada kecenderungan China untuk mengambil kesempatan ke atas kelemahan tadbir urus sesebuah kerajaan asing dengan ‘menembusi’ dan memerangkap mereka melalui hutang dan projek infrastruktur berskala gergasi (seperti kes Sri Lanka, Maldives, dan Venezuela).

Sehingga ke hari ini, Jho Low masih bebas di China (Hong Kong) sedang Najib Razak telah disiasat. Jika benar Jho Low bukan agen China, tiada sebab untuknya bersembunyi. Semoga Jho Low dapat diheret ke muka pengadilan dengan secepatnya.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.