Ribuan ikan mati akibat kekurangan oksigen

Ribuan ikan air tawar daripada lima sangkar ikan yang dipelihara di Kampung Kuala Bekah, Pulau Musang di sini mati dipercayai akibat kekurangan oksigen. (Gambar kecil: Zawawi Ali)
A
A

KUALA TERENGGANU - Laporan awal siasatan bagi kes kematian ribuan ikan air tawar dalam sangkar di Kampung Kuala Bekah, Pulau Musang di sini dipercayai akibat kekurangan bekalan oksigen.

Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, berdasarkan pemerhatian morfologi, keadaan insang, mata, sisik, sirip dan organ dalaman ikan menunjukkan berada dalam keadaan normal.

"Berdasarkan temu bual di lapangan, penternak menyedari ikan tercungap-cungap di permukaan air. Ada sebahagian penternak menggunakan pam untuk menghasilkan kocakan air dapat menyelamatkan ikan dengan kadar kematian 20 hingga 30 peratus.

"Manakala bagi penternak yang tidak mempunyai peralatan mencukupi, kadar kematian ikan hampir 100 peratus dan anggaran kerugian dan jumlah penternak terlibat masih dalam tindakan Pejabat Perikanan Daerah," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehari sebelum kejadian pada jam 9 malam pada 8 September lalu, berlaku hujan pada sebelah petang dan air mati iaitu ketiadaan arus pada sebelah malam antara faktor penyumbang kematian ikan terbabit.

Bagaimanapun, Zawawi berkata, sampel air telah diambil untuk tujuan analisis Jabatan Kimia dan keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua minggu.

Dalam kejadian malam Sabtu lalu, ribuan ikan dari lima sangkar milik penternak ikan air tawar di Sungai Terengganu mati dengan nilai kerugian dianggarkan RM30,000 bagi setiap satu sangkar.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia