Aduan salah laku polis diterima selepas Akta IPCMC dikuatkuasakan

Abu Kassim. Foto: ROSLI TALIB
Abu Kassim. Foto: ROSLI TALIB
A
A
A

JOHOR BAHRU - Semua aduan berhubung salah laku membabitkan pihak polis akan dilakukan selepas Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) berkuatkuasa.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Jabatan Perdana Menteri (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, bagi aduan yang dikemukakan sebelum tarikh kuatkuasa akta tersebut, ia akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas akta itu mula dilaksanakan.

“Sekiranya IPCMC berjaya dilaksanakan, ia hanya akan menerima aduan salah laku yang dibuat bermula dari tarikh kuatkuasa akta baharu berkenaan.

“Manakala bagi aduan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebelum tarikh kuatkuasa Akta IPCMC ini, ia akan diselesaikan dalam tempoh 6 bulan iaitu selepas akta baharu berkenaan diwarta dan dikuatkuasakan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri sesi konsultasi IPCMC 2019 bertempat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor yang dihadiri seramai 250 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi Zon Selatan.

Sesi konsultasi itu merupakan satu inisiatif dalam memberi penerangan dan kefahaman secara terus kepada anggota PDRM mengenai Rang Undang-Undang (RUU) IPCMC yang akan dibacakan di Parlimen Oktober ini.

Ia bertujuan untuk menyampaikan intipati fungsi dan bidang kuasa IPCMC sebagaimana yang diperuntukkan dalam RUU IPCMC 2019 dan mendapatkan maklum balas daripada anggota PDRM di peringkat akar umbi berkenaan RUU tersebut.

Hadir sama, Setiausaha EAIC, Mohamad Onn Abd Aziz; Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, EAIC selaku agensi yang akan diperkasakan sebagai IPCMC telah memulakan siri lawatannya ke Zon Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan) pada 3 September lalu.

Antara lawatan agensi itu termasuk ke premis-premis PDRM termasuk ibu pejabat polis daerah, balai, lokap dan kuarters bagi meninjau kemudahan fasilitet, logistik dan hal-hal berkaitan kebajikan serta kesejahteraan PDRM selaras dengan fungsi dan kuasa yang diperuntukkan oleh RUU IPCMC 2019.