'Bukan semua orang pandai, faham tulisan jawi'

Mohd Amar ketika ditemui media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Majlis Daerah Tanah Merah hari ini.
Mohd Amar ketika ditemui media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Majlis Daerah Tanah Merah hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sudah lama menggunakan tulisan jawi dalam beberapa urusan melibatkan Exco kerajaan negeri, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, bagaimanapun satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan jika tulisan jawi hendak digunakan secara menyeluruh untuk semua urusan kerajaan.

"Zaman Tok Guru (Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) dulu lagi kita sudah gunakan tulisan jawi dalam urusan surat menyurat Exco.

"Untuk gunakannya secara menyeluruh, itu kita kena buat kajian dulu sebab bukan semua orang pandai dan faham jawi.

"Kalau kita guna 100 peratus takut jadi masalah nanti. Jadi kita kena tengok dululah," katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Beliau turut menyambut baik pendekatan negeri lain yang menggunakan tulisan jawi dalam pelbagai urusan.

"Kita di Kelantan ini sudah lama mulakannya. Tengok iklan dan sebagainya kita mesti letak tulisan jawi.

"Kalau orang lain (negeri lain) pun nak buat juga, alhamdulillah itu satu perkembangan yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dikatakan akan menggunakan tulisan jawi dalam segala urusan surat menyurat mereka bermula tahun hadapan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, pelaksanaan berkuat kuasa 1 Januari itu akan melibatkan kesemua anak syarikat di bawah JAINJ dan MAINJ.

Pelaksanaan itu dikatakan akan melibatkan pelbagai peringkat iaitu pejabat kadi, sekolah-sekolah agama dan digunakan dalam teks-teks ucapan.