Sembunyi dadah dalam seluar dalam

A
A

BESUT - Taktik seorang lelaki dipercayai pengedar dadah menyembunyikan dadah di dalam seluar dalam yang dipakainya tidak berhasil apabila diberkas sepasukan polis di Kampung Lak Lok Jertih di sini petang semalam.

Suspek berusia 32 tahun dari Kampung Tujuh, Tumpat, Kelantan itu ditahan sepasukan polis di tepi jalan utama di kampung itu kira-kira jam 1.40 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Idris Mohamed berkata, sebelum itu, sepasukan polis dari Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah Besut yang membuat rondaan di sekitar kampung tersebut ternampak suspek berada di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis menghampiri lelaki tersebut dan memperkenalkan diri menyebabkan suspek tergamam serta tidak sempat melarikan diri.

"Pemeriksaan lanjut pada badan suspek menemui 232 biji pil dipercayai dadah jenis eramin 5 yang disembunyikan di dalam seluar dalamnya.

"Sebelum itu polis hanya menemui tiga pil sama yang berada di dalam poket suspek," katanya.

Idris berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzo, namun lelaki terbabit tidak mempunyai rekod lampau.

Katanya, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.