Shinzo Abe rombak Kabinet Jepun

Shinzo Abe
A
A

TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini melantik Menteri Luar dan Menteri Pertahanan baharu serta menaikkan pangkat bintang politik yang sedang meningkat naik di bawah rombakan Kabinet negara itu.

Pelantikan luar biasa Shinjiro Koizumi, 38, yang merupakan anak bekas Perdana Menteri, Junichiro Koizumi sebagai Menteri Alam Sekitar turut mencetuskan spekulasi tentang pengganti Abe.

Beliau menjadi menteri ketiga paling muda dilantik di Kabinet sejak Perang Dunia Kedua berakhir.

Beliau juga dikatakan mempunyai pandangan yang mendalam terhadap dasar kuasa nuklear dan ia mencetuskan persoalan sama ada Koizumi akan melanggar pendirian antinuklear bapanya.

Pemilihan Toshimitsu Motegi sebagai Menteri Luar baharu menggantikan Taro Kono adalah sebagai ganjaran terhadap usahanya berunding dalam perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Kono diberi tanggungjawab memegang portfolio pertahanan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dengan Korea Selatan.

Abe bakal menjadi Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara itu pada November depan dan beliau dijangka meletak jawatan daripada kepimpinan Parti Demokratik Liberal (LDP) pada 2021. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia