Negeri Sembilan aktifkan pelan tindakan jerebu

Pemandangan di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang terjejas ekoran jerebu yang melanda ketika tinjauan di sekitar bandar Seremban, semalam. -Foto Bernama
A
A

SEREMBAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan akan mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu selepas tiga stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Pemangku Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, berdasarkan bacaan IPU Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di laman web http://apims.doe.gov.my sehingga jam 2 petang tadi, kawasan Nilai terus mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu (156), Seremban (131) dan Port Dickson (109).

“Menerusi Pelan Tindakan Jerebu ini kita akan melakukan pemantauan 24 jam termasuk mengadakan rondaan di setiap daerah terutama kawasan pertanian.

“Fokus utama ialah memastikan tiada berlaku aktiviti pembakaran terbuka yang sudah tentu akan memburukkan lagi keadaan jerebu jika ia tidak dikawal,” katanya kepada pemberita.

Menurutnya, individu yang didapati melakukan aktiviti itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, boleh dikenakan kompaun RM2,000 atau denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya tiada lokasi panas yang dikesan negeri ini.

Untuk rekod, bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia