Budak perempuan maut didera: Suami isteri direman

Pasangan suami isteri ditahan reman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak perempuan dua tahun yang meninggal dunia disyaki akibat didera fizikal dan seksual.
A
A

MELAKA TENGAH - Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang disyaki didera di sebuah rumah di Kandang di sini semalam.

Perintah reman hingga 17 September itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, Anuar Ostadi.

Kedua-dua suspek yang merupakan penjaga mangsa sejak akhir Julai lalu disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Wanita berusia 36 tahun dan suaminya berusia 45 tahun ditahan selepas pihak hospital membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi selepas mendapati terdapat kesan parut pada bahagian kepala dan paha mangsa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan tahanan reman pasangan suami isteri itu.

Menurutnya, setakat ini polis sedang menunggu laporan bedah siasat terhadap kanak-kanak itu yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka.

"Kita telah membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan seksyen Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Dalam pada itu, sumber polis berkata, kanak-kanak malang itu sebelum ini dibesarkan oleh ibu angkat yang juga ibu saudaranya dan tinggal di Melaka selepas kanak-kanak terbabit diserahkan ibu bapa kandung yang menetap di Klang, Selangor.

Bagaimanapun menurutnya, sejak akhir Julai lalu, kanak-kanak yang dipercayai turut mengalami masalah lembam dan mesra dipanggil Lina dalam kalangan ahli keluarga itu kemudian diserahkan kepada pengasuh berkenaan yang turut mempunyai hubungan saudara dengan ibu angkat terbabit.

"Lebih kurang jam 2 pagi (semalam) kanak-kanak itu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka oleh suami isteri itu setelah didapati tidak sedarkan diri dan pegawai perubatan ketika itu turut memberikan bantuan pernafasan (CPR).

"Malangnya bantuan CPR berkenaan tidak berjaya dan mangsa disahkan meninggal dunia selain pemeriksaan mendapati terdapat kesan parut di bahagian kepala dan paha mangsa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak perempuan maut dipercayai didera


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia