X

Kindly register in order to view this article
!

Farhash bebas dengan jaminan polis

Farhash Wafa
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Politik kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, 37, tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kes rusuhan di Arena All Stars, Ampang pada 31 Ogos lalu.

Farhash yang juga Pengerusi PKR Perak itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada jam 10 pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, Farhash telah memberikan kerjasama kepada polis dalam tindakan melengkapkan siasatan.

"Proses siasatan telah dijalankan dan ujian saringan awal air kencing juga telah dibuat dan mendapati ia negatif.

"Farhash kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 5 petang tadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Fadzil berkata, kes itu akan dirujuk kepada pihak Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.

Terdahulu, seramai lima individu berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun ditahan dan direman bagi membantu siasatan insiden berkenaan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Fadzil turut mengesahkan pengadu kes tersebut telah membuat laporan polis untuk menarik semula laporan yang dibuatnya.

Kejadian kira-kira jam 9 malam itu dipercayai berpunca apabila seorang lelaki bertindak menolak muka mangsa hingga berlaku kekecohan di kompleks tersebut.

Mangsa kemudian telah diserang sekumpulan 10 lelaki yang bersenjatakan topi keledar, pisau dan kerusi hingga mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang, luka di anggota badan dan sakit pada bahagian kemaluan.

Susulan kejadian itu, polis meminta salah seorang individu terbabit, Farhash Wafa untuk tampil bagi membantu siasatan.