Tengku Maimun tekad perkukuh sistem kehakiman

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang dianugerahi Darjah Kebesaran Persekutuan hari ini berazam untuk meneruskan usaha menambah baik sistem kehakiman negara.

Tengku Maimun berkata, beliau akan meneruskan agenda penambahbaikan (reform) dalam sistem kehakiman yang diusahakan penyandang jawatan itu sebelum ini.

"Saya akan teruskan dengan apa 'reform' yang diusahakan atau dimulakan oleh pendahulu saya, Tan Sri Richard Malanjum sebelum kita teruskan 'reform' yang baru,” katanya selepas istiadat penganugerahan itu di Istana Negara hari ini.

Tengku Maimun yang mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara mengetuai senarai 42 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Tengku Maimun antara tiga tokoh yang menerima Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri.

Tengku Maimun melahirkan perasaan terharu dan terima kasih yang tidak terhingga atas penganugerahan itu.

Berkongsi perasaan itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ismail Bakar yang turut dianugerahi PMN bertekad meneruskan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih daripada gejala rasuah.

Sambil mengucapkan tahniah kepada penjawat awam yang turut dikurniakan darjah kebesaran pada istiadat itu, beliau berharap penganugerahan tersebut menjadi galakan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan cekap dalam melaksanakan tugas.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohammad Ariff Yusof menyatakan rasa syukur dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang diterimanya.

Mohammad Ariff berkata, beliau bertekad meneruskan visinya dalam melakukan reformasi Parlimen yang sudah dimulakan melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan usaha merakyatkan Parlimen.

“Kita juga akan adakan upacara dan aktiviti melibatkan rakyat jelata seperti Debaton Parlimen yang baru kita anjurkan Sabtu lalu,” katanya.

Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Datuk Rozainor Ramli berkata, pengurniaan Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) kepadanya memberikan beliau semangat untuk berusaha lebih keras dan berkhidmat kepada negara dan Yang di-Pertuan Agong. - Bernama