Saringan teliti terhadap permohonan lesen bauksit: MB Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

LIPIS - Proses saringan yang teliti terhadap permohonan lesen melombong bauksit akan dilakukan bagi mengelakkan insiden pencemaranm daripada berulang, kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau menyifatkan saringan itu sebagai penting bagi memastikan mereka yang diberikan lesen operasi perlombongan dan pengeksportan bauksit memenuhi kriteria prosedur operasi standard (SOP) yang baru ditetapkan.

"Kita telah bersetuju untuk mengguna pakai SOP yang ditetapkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dan untuk pastikan ia berkesan, lesen operasi perlombongan bauksit tidak boleh diberikan dengan mudah.

"Tapisan yang teliti akan dilakukan sebelum aktiviti perlombongan boleh dimulakan dalam masa terdekat selepas kerajaan negeri selesai dengan permohonan lesen," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Projek Perumahan Makmur Tanjung Gahai di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda dan Pengarah Urusan Nilaitek (M) Sdn Bhd Jay Teh Tze Jin, mewakili pemaju yang akan membangunkan perumahan tersebut.

Wan Rosdy memberi jaminan tindakan tegas termasuk menarik semula lesen akan dikenakan terhadap mereka yang didapati gagal mematuhi SOP itu pada pemantauan yang akan dilaksanakan bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Mengulas mengenai perumahan Makmur, Wan Rosdy berkata setakat 31 Ogos lepas, kerajaan negeri telah meluluskan 21 tapak projek melibatkan 7,088,unit rumah Makmur antaranya di Kuantan, Temerloh, Bera, Maran dan Rompin.

"Daerah Bentong, Cameron Highlands, Pekan dan Raub juga diharapkan akan menerima manfaat rumah ini pada masa depan, bagi memberi peluang kepada penduduk kemudahan untuk memiliki kediaman sendiri.

"Projek rumah Makmur ini merupakan lanjutan kepada usaha kerajaan negeri untuk menyediakan perumahan mampu milik dengan harga yang cukup menarik iaitu RM80,000 seunit menjadikan permintaannya amat tinggi " katanya.

Berhubung projek rumah Makmur Tanjung Gahai, Wan Rosdy berkata jumlah rumah terlibat ialah 90 unit berkeluasan tapak rumah 1,300 kaki persegi dan tapak binaan 800 kaki persegi, yang akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan jangkaan siap pada 2021. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia