HDC tak ambil alih urusan persijilan halal: Fuziah

Fuziah (dua dari kanan) menyampaikan simbolik sumbangan membaik pulih rumah asnaf kepada salah seorang penerima sempena program tersebut.
A
A

KUANTAN - Khabar angin mengatakan segala urusan berkaitan halal di negara ini akan diambil alih oleh Halal Industri Development Corporation (HDC) adalah tidak benar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, Majlis Jemaah Menteri mengambil keputusan HDC akan terlibat sebagai Jawatankuasa bersama (Join Committee) yang memfokuskan pembangunan industri halal dan bukannya mengambil alih pengiktirafan sijil halal atau perkara lain.

"Berita HDC akan urusan semula perkara berkaitan halal adalah tidak benar. Di bawah Jabatan Perdana Menteri ada Majlis Halal Malaysia melibatkan 13 Kementerian," katanya pada sidang akhbar sempena program Ziarah Kasih Rahmah 2019 di Padang Awam, Sungai Lembing hari ini.

Menurutnya, tugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membabitkan integriti dan pengiktirafan persijilan halal, standard di bawah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kita lihat dalam pembangunan industri halal ada sedikit kelemahan kerana Industri halal adalah sektor ekonomi yang harus dikembangkan," katanya.

Fuziah berkata, disebabkan kelemahan itu, HDC akan menyertai jawatankuasa yang ada untuk memainkan peranan membangunkan Industri halal.

"Majlis jemaah menteri buat keputusan minggu lepas dan selepas ini akan diadakan mesyuarat khas untuk meneruskannya.

"Majlis Halal Malaysia mungkin akan diubah namanya kepada Majlis Pembangunan Industri Halal tetapi masih di bawah Jabatan Perdana Menteri," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia