Kelantan Warriors sedia rampas kejuaraan STL

Zuraidin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program Jelajah Motivasi Perubahan 2019 peringkat negeri di Chetok.
Zuraidin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program Jelajah Motivasi Perubahan 2019 peringkat negeri di Chetok.
A
A
A

KELANTAN Warriors melaungkan amaran pasukan itu sudah sedia merampas kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) dari Penang Black Panthers pada musim ini.

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) Zuraidin Abdullah berkata, bagi memastikan impian itu menjadi realiti Kelantan Warriors membawa masuk dua tekong import dari Thailand iaitu Apirak Promane dan Sahakan Suiyang.

"Apirak Promane ialah bekas tekong kebangsaan Thailand manakala Sahakan Suiyang pula masih bermain untuk pasukan negaranya ketika ini.

"Kedua-dua tonggak itu sudah menunjukkan keserasian yang mantap bersama rakan-rakan sepasukan lain. Jadi tidak mustahil impian itu mampu direalisasikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Motivasi Perubahan 2019 peringkat negeri di Chetok di sini hari ini.

Program tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan negeri dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Zuraidin (tengah, berdiri) bersama barisan pemain Kelantan Warriors.
Zuraidin (tengah, berdiri) bersama barisan pemain Kelantan Warriors.

Menurutnya, selain dua tekong dari negara Gajah Putih itu, Kelantan Warriors turut diperkuat dengan tekong berpengalaman dari Johor Tigris musim lalu iaitu Muhammad Hairee Haidzir.

Artikel Berkaitan:

Zuraidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok berkata, selain itu pasukan tersebut turut diperkuatkan dengan beberapa pemain seperti Aidil Aiman Zawawi, Nur Yuslie Md Jusoh dan Wan Naim Izani Wan Noor.

Katanya, sebelum saingan STL bermula Kelantan Warriors menjalani latihan intensif serta perlawanan persahabatan di Selatan Thailand dalam usaha untuk membentuk kombinasi regu yang mantap.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Kelantan itu berkata, bukan itu sahaja Kelantan Warriors turut menyertai Kejohanan Antarabangsa Empat Penjuru di Pekan Baru, Riau dan berjaya mendapat naib johan.

Barisan pemain Kelantan Warriors 2019

Tekong

1. Sahakan Suiyang

2. Aripak Promane

3. Muhammad Hairee Haidzir

Apit kanan

1. Nur Yuslie Md Jusoh

2. Muhammad Eqbal Shamsudin

3. Wan Naim Izani Mohd Noor

Apit kiri

1. Aidil Aiman Azwawi

2. Mohamad Hafizi Maarof