Tanam durian: Hanya di tanah terbiar, lot kosong

Nazri
Nazri
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyambut baik cadangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) untuk menanam durian di tanah Felda dengan syarat hanya di tanah-tanah terbiar atau lot kosong yang ditinggalkan sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, kementerian perlu mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu untuk melaksanakan cadangan itu.

Menurutnya, cadangan tersebut tidak boleh diterima secara bulat-bulat kerana jika terlalu banyak tanaman durian ia akan menjejaskan peneroka walaupun tujuan asal adalah untuk membantu penambahan pendapatan.

"Cadangan itu bagus tetapi mestilah di atas tanah-tanah lot kosong yang tiada kaitan dengan peneroka atau tanah terbiar sahaja.

"Kita tidak setuju jika ditanam di kawasan tanaman sawit peneroka kerana jika terlalu banyak tanaman durian, ia akan membawa kesan negatif termasuk berlaku lambakan durian dan harganya juga akan jatuh.

"Peneroka juga tidak mahu ambil risiko kalau semua kelapa sawit ditebang," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain mendapatkan persetujuan kerajaan negeri, perlu ada hitam putih mengatakan langkah itu adalah untuk peneroka dan bukannya ada agenda di sebaliknya.

"Kena dapatkan kebenaran daripada kerajaan negeri dahulu kerana tanah-tanah Felda adalah di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

"Usaha itu baik tetapi kita bimbang wujudnya entiti yang cuba mengaut keuntungan.

"Kena pastikan peneroka bukan hanya bekerja di ladang durian yang ditanam tetapi faedah dan imbuhan lain diterima," katanya.