Kes rusuhan babitkan Farhash, pengadu tarik balik laporan polis

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A

KUALA LUMPUR- Individu yang membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan di sebuah kompleks sukan di Ampang pada 31 Ogos lalu yang didakwa melibatkan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, sudah menarik balik laporan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata pengadu yang mendakwa dirinya dipukul hingga menyebabkan kecederaan itu telah menarik semula laporan pada Khamis lepas.

Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut berhubung tindakan pengadu itu.

“Kes akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata setakat hari ini Farhash yang merupakan suspek utama kes, masih gagal dikesan dan diminta untuk segera tampil bagi membantu siasatan kes itu.

Menurutnya, sehingga kini lima individu termasuk pengadu masing-masing berusia antara 22 dan 38 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka bekerja dalam bidang kejurulatihan Muay Thai. Empat daripada suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini manakala seorang lagi suspek akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras kerana dikehendaki polis berkaitan kes dadah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.00 malam itu, seorang individu mendakwa telah diserang dengan topi keledar, pisau dan kerusi sewaktu rusuhan bersenjata dipercayai melibatkan lebih 12 lelaki tempatan.

Individu itu dilaporkan mengalami kecederaan koyak di bahagian tisu pinggang dan luka anggota badan.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan di kompleks sukan: Polis minta Farhash tampil