Warga China pemegang MyKad penuhi syarat permohonan: JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran di media sosial.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran di media sosial.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran di media sosial mengenai warga China miliki MyKad bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kebimbangan rakyat bahawa kerajaan sewenang-wenangnya memberikan kewarganegaraan kepada rakyat asing.

Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang menyebarkan sebarang isu berunsur fitnah kepada kerajaan.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam laman Facebook di sini hari ini, JPN menjelaskan isu berhubung warga China miliki kad pengenalan MyKad ialah isteri kepada warganegara Malaysia yang memperoleh kewarganegaraan pada September 2017 di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, sebagai isteri kepada warganegara Malaysia yang berkahwin secara sah mengikut undang-undang Malaysia boleh memohon kerakyatan setelah memenuhi syarat yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

"Permohonan dan kelulusan kewarganegaraan Malaysia bukan tertumpu kepada satu-satu kaum tertentu sahaja malah menerima dan meluluskan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

"Penganugerahan taraf kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi oleh kerajaan Malaysia kepada warga asing yang benar-benar layak sahaja dan perlu mengikut syarat yang ditetapkan serta tertakluk kepada peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

JPN berkata, isu itu juga pernah ditular tahun lepas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mendakwa JPN telah memberikan kad pengenalan kepada warga China. - Bernama

Artikel Berkaitan: