X

Kindly register in order to view this article
!

Sasterawan perlu diiktiraf, dihargai

Siti Zainon Ismail
A
A

KUALA LUMPUR - Sasterawan perlu diberi pengiktirafan dan penghargaan sewajarnya jika diundang mendeklamasikan karya mereka.

Sasterawan Negara ke-14, Profesor Dr Siti Zainon Ismail berkata, penganjur majlis perlu bersikap adil dari segi pemberian imbuhan untuk persembahan seumpama itu seperti yang dinikmati golongan artis hiburan.

“Ini kerana sasterawan diberi tugas itu perlu membuat penyelidikan untuk menghasilkan puisi misalnya yang bertepatan dengan majlis dan berlatih menyampaikannya dengan penuh penghayatan

"Mencipta atau menghasilkan sesuatu karya seperti puisi dan menyampaikannya di khalayak umum bukanlah kerja mudah,” katanya selepas menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara di Bernama News Channel (BNC) malam tadi.

Siti Zainon, 69, diumum sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke-14 oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada Selasa lalu.

Anak kelahiran Gombak itu menulis 25 kumpulan puisi, kumpulan cerpen (10), antologi cerpen (tujuh), antologi puisi (lima) dan novel (tiga).

Beliau turut menghasilkan 18 buku kajian ilmiah, 21 esei kajian dalam buku (bab) dan 21 esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi dan majalah katalog.

Majlis pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 dijangka disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 September di ibu negara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus