PD perintis gabung bil bekalan air, pembetungan IWK

Dr A Xavier Jayakumar
Dr A Xavier Jayakumar
A
A
A

PORT DICKSON - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan menjadikan daerah Port Dickson sebagai kawasan perintis bagi melaksanakan penggabungan bil bekalan air dan bil pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) susulan kejayaan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Menterinya, Dr A Xavier Jayakumar berkata, bagaimanapun perlaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak selain kerajaan negeri dan penduduk setempat.

"Setakat ini sistem tersebut telah berjaya dilaksanakan dekat Labuan dan harus difahami juga sistem ini tidak melibatkan kenaikan tarif air dan IWK.

"Ianya hanya melibatkan penggabungan bil bekalan air dan IWK sahaja.

"Ketika ini dua bil tersebut adalah berasingan dan apabila digabungkan memudahkan urusan pembayaran dan mengutip bayaran kedua-dua bil," katanya selepas mengadakan lawatan di Loji Kumbahan Serantau Sunggala di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Xavier berkata, satu perbincangan mengenainya akan dibuat dengan kerajaan Negeri Sembilan dalam masa terdekat untuk persetujuan.

"Penggabungan bil ini akan diperluaskan di semua daerah di Negeri Sembilan sebelum dilaksanakan di negeri lain sekiranya berjaya dilaksanakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Xavier berkata, kementeriannya turut menggesa supaya semua premis komersial dan hotel di Port Dickson membuat sambungan kepada sistem pembetungan awam agar air kumbahan dapat dirawat dengan efisien supaya tidak berlaku pencemaran sungai atau pantai.

"Pentingnya semua pihak untuk memainkan peranan bersama dalam memanfaatkan sistem pembetungan yang dikendalikan IWK demi penjagaan serta perlindungan alam sekitar.

"Tugas memulihara sumber air dan alam sekitar bukan sahaja tugas agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya semua pihak termasuk pihak swasta perlu bekerjasama dalam memastikan pencemaran sungai, pantai atau laut tidak berlaku ataupun dapat dikurangkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Dalam pada itu, di Port Dickson terdapat dua loji rawatan IWK iaitu di Bandar Port Dickson dan Kampung Sunggala yang mampu menampung sebanyak 210,000 kapasiti pengguna, setakat ini merekodkan 90,000 kapasiti pengguna sahaja.