Mustafar bakal dilantik ketuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan

Mustafar Ali
Mustafar Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali bakal dilantik mengetuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Pelantikan Mustafar dilihat sebagai amat sesuai kerana sebelum ini beliau adalah Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, beliau ditukarkan ke Jabatan Imigresen ketika krisis siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perpindahan Mustafar juga disahkan sumber terdekat dengannya dan Unit Perhubungan Awam Imigresen telah mengeluarkan jemputan media berhubung majlis amanat Ketua Pengarah Imigresen dan paluan berundur di Ibu Pejabat Imigresen esok.

Dalam laporan media sebelum ini, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata (NFCC) akan ditubuhkan pada pertengahan tahun depan dalam usaha menangani isu pengaliran keluar wang secara haram.

Beliau berkata, penubuhan pusat itu akan digerakkan menerusi kaedah pelbagai agensi (multi agency) dan mesyuarat penyelarasan agensi itu sudah diadakan.

“Kita harap ia mula beroperasi secepat mungkin selepas undang-undang dibuat. Walau bagaimanapun, kerajaan sudah bersetuju melantik satu pasukan diketuai seorang pegawai kanan kerajaan untuk memastikan pembentukan dan perjalanannya.

“Pusat ini diharap dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun depan menerusi penyelarasan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya pada sidang media Taklimat Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia Jun-Disember 2018 baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Penubuhan NFCC adalah satu daripada 61 inisiatif yang sedang dibincangkan serta diputuskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) pada Jun hingga Disember tahun ini.