X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas Exco Terengganu meninggal dunia

Wan Fakhrul Anwar (dua dari kanan) mengangkat jenazah bapanya dari rumah bapanya di Kampung Gong kepas untuk di bawa ke masjid tengah hari tadi. Gambar kecil: Wan Zakaria
A
A

BESUT - Bekas Exco Terengganu, Datuk Wan Zakaria Wan Abd Rahman meninggal dunia awal pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung.

Anak lelaki Allahyarham, Wan Fakhrul Anwar Wan Zakaria, 42 berkata, Allahyarham bapanya yang berusia 76 tahun meninggal dunia sebaik tiba di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Besut jam 3 pagi tadi.

Menurutnya, sebelum itu bapanya yang mengalami serangan jantung mengadu sesak nafas dan meminta dihantar ke hospital.

“Jam 2.30 pagi, ayah kejutkan saya yang tidur di sebelahnya memberitahu dia sesak nafas lalu saya urut dadanya kemudiannya kejarkan ayah ke hospital.

“Dalam perjalanan, dia hanya diam dan pada masa sama saya memintanya mengucap,” kata ahli perniagaan ini.

Wan Fakhrul Anwar berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya ketika dia sedang mengangkat badan Allahyarham dari dalam kereta untuk dibawa masuk ke bilik kecemasan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pegawai perubatan mengesahkan bapanya telah meninggal dunia dan dipercayai akibat serangan jantung.

“Ayah memang mengalami masalah jantung sejak 10 tahun lalu dan pernah terkena serangan sebelum ini, namun sempat mendapat rawatan.

"Jenazah ayah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja di sini selepas solat Jumaat tadi," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Muqarrabin, Gong Kepas sebaik jemaah selesai menunaikan solat Jumaat dan di rumah Allahyarham di Kampung Gong Kepas.

Allahyarham Wan Zakaria meninggalkan seorang balu, Fauziah Abdullah, 70, yang kini mengalami strok dan tinggal di Cyberjaya.

Allahyarham mempunyai 10 anak iaitu tujuh perempuan dan tiga lelaki berusia 24 hingga 45 tahun.

Allahyarham Wan Zakaria memegang jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Terengganu sebelum beliau tewas dalam Pilihan Raya Umum ke 10 (PRU10) pada tahun 1999.

Wan Fakhrul Anwar, bapanya asalnya seorang guru kemudian berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Daerah di Besut dan kemudiannya menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu ketika itu iaitu Datuk Seri Amar Di Raja Wan Mokhtar Wan Ahmad.

"Allahyarham kemudiannya terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut pada 1979.

"Beliau menjadi ADUN Kuala Besut selama lima penggal termasuk selepas memenangi PRK Kuala Besut," katanya.

Allahyarham juga terkenal sebagai seorang yang aktif dan jawatan terkini disandangnya ialah Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan Pengerusi Veteran UMNO Terengganu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus