Kerajaan Johor tubuh jawatankuasa pantau NFCP

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang akan berfungsi bagi memantau pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di negeri ini.

Exco Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu juga adalah untuk membantu fokus kepada penyediaan infrastruktur pendigitalan di negeri ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Wilayah Selatan bagi menubuhkan jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa ini juga ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan NFCP serta lain-lain inisiatif pembangunan infrastruktur untuk tujuan meningkatkan perkhidmatan komunikasi dan multimedia di Negeri Johor.

“Ia juga berperanan mengenal pasti halangan dan cabaran seterusnya mendapatkan jalan penyelesaian mengatasi masalah yang boleh membantutkan perancangan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly berkata, pihaknya juga memberi sokongan penuh kepada pelaksanaan NFCP yang dilihat selaras dengan matlamat kerajaan mengenai perkembangan ekonomi digital yang lebih pesat.

Jelasnya, pelaksanaan inisiatif itu juga berupaya memastikan seluruh kawasan di Johor mempunyai akses kepada perkhidmatan jalur lebar yang maju dan berkualiti.

“Pelan ini juga dilihat boleh memberikan manfaat khususnya kepada masyarakat di kawasan luar bandar yang akan menikmati perkhidmatan jalur lebar berkualiti dan berkelajuan tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Malahan, ia secara langsung dapat mengelakkan migrasi golongan belia dari kawasan luar bandar ke bandar yang hanya akan meningkatkan kadar miskin bandar,” jelasnya.

Terdahulu, NFCP yang diumumkan kerajaan pada 28 Ogos itu dimaklumkan adalah sebagai pelan diperlukan dan penting bagi menetapkan strategi, sasaran dan tindakan yang akan memastikan ketersediaan sambungan digital berkualiti tinggi dan mampu milik untuk negara.