Kelayakan Piala Dunia 2022: Indonesia mohon maaf

Skuad Harimau Malaya naik kereta perisai balik hotel. Foto Bernama
Skuad Harimau Malaya naik kereta perisai balik hotel. Foto Bernama
A
A
A

JAKARTA - Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi hari ini secara terbuka memohon maaf atas insiden buruk yang tercetus pada pertembungan Indonesia dan Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno, malam tadi.

Imam Nahrawi bertemu Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menyampaikan permohonan maaf dan rasa kesal atas kekecohan ditimbulkan penyokong tuan rumah itu.

Pertemuan berkenaan yang diadakan di sebuah hotel di Jakarta telah dikongsikan dalam pautan laman Instagram Syed Saddiq hari ini.

Pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan dramatik 3-2 di hadapan lebih 50,000 penyokong skuad Garuda.

Namun, perlawanan itu tercemar dengan insiden rusuhan penyokong Indonesia yang menceroboh masuk kawasan stadium dan menyerang kawasan tempat duduk penyokong Malaysia selain membaling botol dan pelbagai objek termasuk suar dari tingkat atas kawasan penyokong negara.

Insiden terbabit memaksa pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin menghentikan perlawanan yang pada ketika itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 hampir 10 minit.

Bagaimanapun, selepas keadaan kembali terkawal, tiada sebarang insiden tercetus sehingga wisel penamat yang menyaksikan Malaysia di bawah bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata berharga. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq, penyokong Malaysia jadi mangsa provokasi

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Skuad Harimau Malaya naik kereta perisai balik hotel