Skuad Harimau Malaya naik kereta perisai balik hotel

Pemain Kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) diasak pasukan Indonesia pada aksi sulung pusingan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta malam tadi. - Foto Bernama
A
A

SKUAD Harimau Malaya terpaksa dibawa keluar dari Stadium Gelora Bung Karno menaiki kereta perisai sejurus kejayaan menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, malam tadi.

Kesemua 24 pemain dan pegawai pasukan negara terpaksa menaiki kereta perisai barracuda ke hotel penginapan atas faktor keselamatan selepas aksi terbabit dicemari insiden kekecohan dicetuskan segelintir penyokong tuan rumah.

Menurut sumber, kira-kira lima kereta perisai difahamkan membawa keluar kesemua pemain dan pegawai pasukan kebangsaan untuk mengelak diserang penyokong tuan rumah selain sebuah bas turut digunakan sebagai umpan untuk mengalih perhatian mereka.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya pernah melalui pengalaman sama selepas dikepung dan dibaling objek keras ketika menjulang Piala AFF 2010 selepas melakar kemenangan agregat 4-2 ke atas Indonesia.

Pada Sukan SEA 2011, situasi sama berlaku apabila pasukan negara sekali lagi dibawa menaiki kereta perisai barracuda selepas berdepan provokasi penyokong tuan rumah. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq, penyokong Malaysia jadi mangsa provokasi