Wanita 74 tahun lahirkan anak kembar

Warga emas itu berjaya hamil melalui proses IVF.
Warga emas itu berjaya hamil melalui proses IVF.
A
A
A

GUNTUR - Seorang wanita berusia 74 tahun menjadi individu tertua di dunia melahirkan sepasang kembar di sebuah hospital di India hari ini.

Mangayamma yang berjaya hamil melalui Persenyawaan In Vitro (IVF) menjalani prosedur pembedahan caesarean dilakukan kumpulan terdiri daripada empat doktor ketika proses bersalin di Ahalya Nursing Home di bandar Guntur, Andhra Pradesh.

Ketua prosedur itu, S Umashankar berkata, ibu dan bayi kembarnya berada dalam keadaan sihat.

"Ini adalah keajaiban perubatan," katanya.

Mangayamma yang tidak dikurniakan cahaya mata selepas berkahwin selama 54 tahun memberitahu dia bersama suaminya Y Raja Rao menemui pakar IVF pada tahun lalu yang bersetuju untuk membantu mereka mendapatkan anak.

"Saya melalui beberapa proses ujian dan doktor mengesahkan saya boleh hamil," katanya.

Tiga pasukan doktor turut ditubuhkan untuk memantau kesihatan, nutrisi dan jantungnya.

Difahamkan, 10 doktor bekerjasama selama sembilan bulan untuk menjaganya dan dia turut menjalani imbasan tetap sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat gembira dengan kelahiran ini. Tuhan telah makbulkan doa kami," katanya yang turut meraikan detik menggembirakan itu dengan mengagihkan manisan.

Pada 2016, Daljinder Kaur dari Haryana menjadi wanita tertua melahirkan bayi lelaki melalui proses IVF. - Agensi