'Tak sangka dia dapat bawa pulang emas'

Nurasmah (dua, kanan), bersama rakan-rakan lain.
A
A

IPOH - "Saya bangga dan tak sangka dia dapat bawa pulang emas," kata jurulatih sukan bocce Sekolah Semangat Maju ketika mengulas kecemerlangan atletnya, Nurasmah Mohd Shah, 23, pada Kejohanan Special Olympics World Summer Games di Abu Dhabi, yang diadakan Mac lalu.

L Annie Margaret yang juga pengetua sekolah itu berkata, atlet yang berasal dari Bercham Ipoh itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya meraih emas pertama negara menerusi sukan bocce.

Malah menurutnya, kejayaan itu dilihat memberangsangkan kerana berjaya mengenepikan cabaran daripada atlet-atlet negara lain yang lebih berpengalaman.

"Saya baru sahaja melatihnya dalam sukan bocce setahun lalu, tapi kami putuskan untuk sertai kejohanan di Abu Dhabi sejak Oktober 2018.

"Saya latih dia selama dua jam setiap hari, saya gembira sebab anak didik saya berjaya juga bawa pulang pingat emas," katanya di sini hari ini.

Annie berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Atlet Special Olympics Perak 2019 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How.

Nurasmah (enam, kanan) pada majlis berkenaan.
Nurasmah (enam, kanan) pada majlis berkenaan.

Hadir sama Pengarah JPN Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Selain Nurasmah, empat lagi atlet dari sekolah berkenaan iaitu Mohd Hafiz Nazri dan Harshini Rajandra Kumar menduduki tempat keempat bagi sukan berkenaan.

Selain itu, Devakasaulaya pula meraih Perak bagi acara lompat jauh selain menduduki tempat kelima dalam acara 100 meter dan Tan Xue Wen Millie berjaya meraih tempat keenam acara 100 meter dan 200 meter (kelapan).

Sementara itu mengulas mengenai sukan bocce Annie berkata, sukan berkenaan dimainkan seperti sukan lawn bowl.

"Bocce ni macam lawn bowl tapi peraturannya lain. Sekarang ni semakin ramai yang saya latih.

"Tapi, selepas ini Nurasmah kita dah tak hantar lagi ke Olimpik kerana bagi peluang kepada atlet lain pula," katanya.