Ukraine bebaskan suspek tembak jatuh MH17

Volodymyr Tsemakh
Volodymyr Tsemakh
A
A
A

KIEV - Sebuah mahkamah di Ukraine hari ini membebaskan seorang lelaki disyaki terlibat dengan insiden menembak jatuh pesawat MH17 di ruang udara Ukraine yang meragut 298 nyawa pada 2014.

Hakim berkata, Volodymyr Tsemakh yang dikenal pasti sebagai bekas komander kumpulan pemisah disokong Rusia di wilayah timur Ukraine dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu siasatan selanjutnya.

Minggu lalu, pendakwa raya Belanda menggesa pihak berkuasa Ukraine melarang Tsemakh melakukan perjalanan ke Rusia atas alasan bimbang dia mungkin boleh menjejaskan siasatan terhadap tragedi tersebut.

Pada awal minggu lalu, 40 ahli politik Eropah turut membuat permintaan sama kepada Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy.

Tsemakh ialah salah seorang daripada individu yang mungkin boleh diserahkan kepada Rusia di bawah langkah pertukaran tahanan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, perbincangan tentang pertukaran tahanan itu sudah dimuktamadkan dan langkah itu bakal melibatkan sejumlah besar individu.

Pasukan penyiasat diketuai Belanda mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap tiga warga Rusia dan seorang Ukraine tidak termasuk Tsemakh yang dikaitkan dengan insiden menembak jatuh pesawat MH17 itu.

Laporan siasatan itu mendakwa sistem misil yang digunakan adalah milik briged antipesawat Rusia, namun Moscow menafikan sebarang penglibatan mereka dalam tragedi tersebut. - Reuters

Artikel Berkaitan: