Dr Mahathir akan bincang bon Samurai di Kyoto

Dr Mahathir
A
A

JEPUN - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka bertemu dengan Gabenor Japan Bank for International Cooperation (JBIC) Tadashi Maeda semasa lawatan beliau ke Kyoto di sini untuk membincangkan kemungkinan penerbitan bon Samurai yang lain.

Duta Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan berkata kunjungan hormat itu dijangka diadakan pada Ahad atas permintaan JBIC.

“Permintaan itu dibuat oleh pihak Jepun menerusi kedutaan mereka di Kuala Lumpur bagi menyediakan peluang kepada Gabenor JBIC untuk menyediakan latar belakang terperinci mengenai kemungkinan terbitan bon Samurai seterusnya,” katanya kepada media Malaysia semasa taklimat di sini hari ini.

Bulan lalu, Perdana Menteri berkata Malaysia menimbang menerbitkan lagi bon Samurai menggunakan pinjaman dari Jepun.

Malaysia menerbitkan pusingan pertama bon Samurai pada Mac tahun ini bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.34 bilion) dengan tempoh matang 10 tahun dan dijamin oleh JBIC.

Dr Mahathir dijadualkan tiba di Osaka malam ini dari Vladivostok, Rusia, untuk memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Kyoto yang juga merupakan lawatan keenam beliau ke Jepun sejak mengambil alih pentadbiran negara pada Mei tahun lepas.

Pada hari pertama lawatan, beliau akan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Doshisha University oleh presidennya Takashi Matsuoka dalam satu majlis khas yang akan diadakan di universiti tersebut.

“Anugerah ini adalah penghormatan dan pengiktirafan terhadap kepimpinan Dr Mahathir daripada ahli akademik Jepun. Ini juga akan meningkatkan imej Malaysia dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” katanya.

Perdana Menteri akan menjadi penerima ke-68 anugerah tersebut dalam sejarah 144 tahun universiti berkenaan.

Antara penerima lain termasuklah pengasas Matsushita Corporation (kini Panasonic) Konosuke Matsushita dan pakar ekonomi Amerika Joseph Eugene Stiglitz, yang juga merupakan pemenang Hadiah Nobel dalam Sains Ekonomi dan John Bates Clark Medal.

Dr Mahathir juga akan melawat dua syarikat -- Towa Corporation dan Shimadzu Corporation -- pada hari pertama lawatan beliau.

Towa, syarikat semikonduktor, merancang mengembangkan operasinya di Malaysia yang melibatkan pelaburan bernilai RM100 juta.

Pada hari kedua lawatan beliau, Perdana Menteri akan melawat Ritsumeikan Elementary School, satu-satunya sekolah di Jepun yang menggabungkan pendekatan tradisional dan teknologi moden dalam sistem pembelajarannya.

Beliau dijangka melawat kelas tembikar, kelas teknologi maklumat dan komunikasi, pelajaran kelas mengenai robotik dan bertemu dengan beberapa murid sekolah dalam satu majlis ringkas.

Kemudian pada malamnya, Dr Mahathir akan menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 200 diaspora Malaysia terdiri daripada pelajar dan ekspatriat. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia