China-AS setuju rundingan perdagangan peringkat tertinggi

Liu He (kiri) bertemu Lighthizer (tengah) dan Mnuchin di Washington pada Mei lalu.
Liu He (kiri) bertemu Lighthizer (tengah) dan Mnuchin di Washington pada Mei lalu.
A
A
A

BEIJING - China dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mengadakan rundingan perdagangan peringkat tertinggi pada awal Oktober ini di Washington.

Perkara itu diumumkan Kementerian Perdagangan China hari ini di tengah-tengah kebimbangan perang tarif yang sedang meningkat dan dikhuatiri boleh akibatkan kemelesetan ekonomi global.

“Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa mereka perlu bekerjasama dan mengambil tindakan praktikal untuk mewujudkan keadaan yang baik dalam rundingan terbabit,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas Timbalan Presiden China, Liu He dan Gabenor Bank Pusat, Yi Gang menghubungi Wakil Perdagangan AS, Robert Lighthizer serta Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin untuk membincangkan hal itu.

Delegasi Beijing dan Washington dijangka mengadakan pertemuan pada pertengahan bulan ini sebelum rundingan peringkat tinggi pada bulan depan.

Ahad lalu, AS mula mengenakan tarif sebanyak 15 peratus terhadap barangan import dari China manakala Beijing bertindak balas dengan langkah sama menyasarkan minyak mentah dari negara terbabit.

Perang tarif dilancarkan Washington itu mendorong Beijing mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

AS juga merancang meningkatkan kadar tarif baharu daripada 25 kepada 30 peratus yang telah ditetapkan terhadap barangan import China bernilai AS$250 bilion (RM1.0 trilion) bermula 1 Oktober depan. - Agensi

Artikel Berkaitan: