Syed Hussein kekal Presiden DPMM

Syed Hussein Alhabshee
Syed Hussein Alhabshee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee adalah Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang sah selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini merekodkan penghakiman persetujuan antara DPMM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya merekodkan penghakiman itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam T Balan Nair dan S Ranjini yang mewakili DPMM yang juga pemohon dan Peguam Kanan Persekutuan Aisyaf Falina Abdullah mewakili tiga responden iaitu Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Kuala Lumpur dan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Balan Nair berkata, Mariana merekodkan penghakiman persetujuan secara baik tanpa perintah terhadap kos.

Menurutnya, penghakiman itu direkodkan berdasarkan perintah yang dikeluarkan RoS semalam di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966.

RoS dalam perintah itu memutuskan bahawa Mesyuarat Agung Luar Biasa DPMM pada jam 10 pagi, 22 November 2018 adalah sah selaras dengan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan keputusan Mesyuarat Majlis Eksekutif Dewan (MED) pada 21 November tahun lalu yang mana keputusan dibuat dalam mesyuarat tersebut juga adalah sah termasuk dengan pemecatan Presiden DPMM (Rizal Faris Mohideen Abdul Kader) yang berkuat kuasa mulai tarikh keputusan dibuat.

RoS juga mengeluarkan arahan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan diadakan pada 22 November tahun lalu jam 2 petang dan keputusan dibuat termasuk pemecatan 18 orang ahli MED adalah tidak sah.

RoS juga memutuskan Mesyuarat Agung Tahunan pada 15 Jun lalu adalah selaras dengan Fasal 21 Undang-undang Tubuh DPMM dan segala keputusan yang dibuat dalam mesyuarat agung tahunan tersebut termasuk pemilihan ahli MED adalah sah berkuat kuasa mulai 15 Jun tahun lalu.

Perintah itu juga menyatakan peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kementerian Kewangan yang dimasukkan terus ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang telah melanggar Fasal 29.1 Undang-undang Tubuh DPMM kerana tiada kelulusan MED.

Artikel Berkaitan:

Perintah itu juga menyatakan tindakan lanjut diambil dan yang akan diambil berhubung pelanggaran itu hendaklah diuruskan selanjutnya oleh MED dilantik dalam mesyuarat agung tahunan pada 15 Jun tahun lalu.

Terdahulu, Balan Nair memberitahu media bahawa mahkamah juga membenarkan DPMM mengakses Sistem Elektronik Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (eRoses) bagi mengemas kini senarai barisan kepimpinan baharu pertubuhan itu. - Bernama