Badang Johor lakar sejarah di Indonesia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ATLET angkat berat remaja negara, Muhammad Aniq Kasdan mencipta sejarah tersendiri apabila meraih tiga pingat emas sekali gus berjaya melebur dua rekod kebangsaan pada Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa Indonesia 2019, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, ‘badang’ berusia 17 tahun kelahiran Johor itu berjaya menewaskan jaguh-jaguh dari negara tuan rumah untuk mengungguli acara snatch dan clean and jerk.

Muhammad Aniq meraih emas kategori 55kg lelaki selepas menyempurnakan angkatan seberat 138kg dalam acara clean and jerk, memecah rekod kebangsaan milik atlet senior Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad 137 kg yang dibuat pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2019, Sarawak Jun lepas.

Bagi kategori snatch, Muhammad Aniq melakukan angkatan 103kg seterusnya mengumpul angkatan keseluruhan 241kg untuk melayakkannya meraih emas.

Pada masa yang sama, Muhammad Aniq memadam rekod kebangsaan junior yang dipegang Muhammad Syahmi dalam acara yang sama 207kg yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Junior dan Senior Kebangsaan di Sabah, tahun lalu.

Turut melakar pencapaian terbaik, atlet pelapis Nilcy Tunik yang meraih dua pingat emas dan satu perak dalam kategori 49kg selepas melakukan jumlah angkatan 138kg sekali gus melebur rekod sendiri 130kg.

Selain itu, Elly Cascandra memenangi satu emas dalam acara snatch 55 kg, diikuti Mimi Syazwani Zainal Abidin yang meraih emas kategori 76kg dan Sonia Cascandra dalam kategori lebih 87 kg.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata, kejayaan diraih atlet remaja kebangsaan jelas menunjukkan Malaysia mempunyai atlet angkat berat yang berbakat bukan sahaja dari negeri Johor malah dari negeri lain.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor 2020 nanti menjadi medan terbaik untuk mencari atlet kebangsaan yang bakal mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

”Saya berharap lebih ramai atlet dapat menunjukkan prestasi baik dalam Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan di Johor yang bakal diadakan 28 September hingga 3 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, Malaysia dengan kekuatan enam atlet terdiri daripada empat pelatih kebangsaan dan dua atlet Johor, berjaya meraih 12 pingat emas, tiga perak dan satu gangsa pada kejohanan berkenaan yang berakhir, esok. - Bernama