Seru roh jahat, sekolah Katolik haramkan novel Harry Potter

Mantera yang terdapat dalam siri novel Harry Potter itu didakwa berisiko memanggil roh jahat.
Mantera yang terdapat dalam siri novel Harry Potter itu didakwa berisiko memanggil roh jahat.
A
A
A

WASHINGTON - Penghalau hantu menasihatkan paderi di sebuah sekolah Katolik di Nashville, Amerika Syarikat supaya mengharamkan buku Harry Potter atas kebimbangan siri novel popular itu mungkin akan digunakan untuk menyeru roh.

Paderi Dan Reehil dilaporkan menghubungi penghalau hantu di Rom dan Washington yang menyarankan kesemua novel Harry Potter hasil tulisan J K Rowling dikeluarkan daripada perpustakaan Sekolah Katolik St Edward di Tennessee.

"Mantera yang digunakan dalam buku itu adalah ayat sebenar yang apabila dibacakan berisiko memanggil roh jahat," kata paderi terbabit.

Sementara itu, penguasa sekolah, Rebecca Hammel memberitahu akhbar The Tennessean bahawa Reehil mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu.

"Walaupun kami menyimpan buku tersebut, ia tidak akan ditawarkan secara terbuka kepada pelajar di perpustakaan baharu yang akan dibuka," ujarnya.

Siri novel kegemaran ramai yang turut diadaptasi kepada filem itu juga dilarang di kebanyakan sekolah di AS dan Britain kerana didakwa mempromosikan nilai syaitan atau ilmu hitam. - AFP