Najib ke China pada 2016 dapatkan usaha sama syarikat negara itu

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi ke Beijing, China pada 2016 bagi mendapatkan perjanjian usaha sama dengan beberapa syarikat di negara itu, Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang juga bekas pegawai khas Najib berkata demikian ketika dirujuk dokumen bertajuk "Official Visit-Signing-Important Next-Step and Designated Parties" oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata dokumen itu menyatakan bahawa pada 1 atau 2 November 2016, Najib akan membuat lawatan rasmi ke Beijing dengan sasaran untuk:

i. Mendapatkan 'Full EPCC Agreement' iaitu perjanjian penuh di antara Syarikat China Communications Construction Company (CCCC) dengan ECRL Sdn Bhd dan juga China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) dengan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER);

ii. Mendapatkan 'Full Funding Agreement' di antara China EXIM dan ECRL dan juga di antara China EXIM dan SSER; dan

iii. Mendapatkan 'Full Renminbi Bond Underwriting Agreement' di antara China yang ditetapkan dengan ECRL dan juga Parti China yang ditetapkan dengan SSER.

Bagaimanapun, Amhari Efendi berkata beliau tidak tahu sama ada dokumen itu disediakan oleh Low Taek Jho yang dikenali sebagai Jho Low atau Terence Geh.

"Ini kerana pada masa itu Terence turut aktif dalam memberi input-input berkaitan projek usaha sama Malaysia-China memandangkan beliau merupakan Secretariat Malaysia-China Strategic High Impact Economic Committee (MCSHIEC)," kata saksi penting pendakwaan itu semasa membacakan penyataan saksi setebal 77 muka surat pada hari keempat perbicaraan kes Najib.

Artikel Berkaitan:

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama