Kit Siang seru rakyat pertahan perpaduan nasional

Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
A
A
A

SHAH ALAM - Semua rakyat Malaysia harus mempertahankan perpaduan nasional dan mengecam berita palsu dan ucapan kebencian yang direka untuk mencetuskan prasangka antara kaum dan agama, rasa curiga, permusuhan, ketakutan dan kebencian.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, sejak dua bulan lalu media sosial Malaysia seolah-olah membentuk rohnya yang tersendiri iaitu memberikan sebuah gambaran yang salah bahawa kononnya daya pemisah dan pemecah-belah sedang bermaharajalela dan giat memporak-perandakan Malaysia disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama yang terburuk dalam sejarah negara.

Bagaimanapun, katanya, ini adalah gambaran yang salah tentang keadaan sebenar di Malaysia.

"Saya tidak menemukan sebarang sentimen yang diadu-dombakan media sosial Malaysia seperti perasaan curiga antara kaum dan agama, prasangka, sangsi, kemarahan, ketakutan dan kebencian.

"Sebaliknya saya merasakan suasana ketika itu dipenuhi dengan semangat muhibah, persefahaman, harmoni dan toleransi dalam kalangan rakyat Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai contoh katanya, di kawasan Parlimennya beliau telah merasmikan beberapa acara antaranya sambutan Hari Kemerdekaan ke-62 di Kangkar Pulai yang disertai kira-kira 2,000 penduduk, pertandingan debat, Konvoi Bermotosikal Hari Kemerdekaan ke-62, dan Pesta Bola Hari Kemerdekaan ke-62 yang disertai 32 kumpulan dari beberapa kampung Melayu.

Justeru beliau menyeru rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama, untuk membuktikan bahawa media sosial Malaysia adalah salah dalam memberikan gambaran berkenaan.

"Rakyat Malaysia harus bersatu dan bersaing dengan seluruh dunia, daripada terus bertelagah sesama sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Seperti mana peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang mengejutkan bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan dunia menyerlahkan keberanian rakyat Malaysia, saya optimis bahawa majoriti rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama atau wilayah, ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara bertaraf antarabangsa yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti," katanya.