Tak terjejas fenomena air surut

Keadaan air surut dikatakan perkara biasa di sini. (Gambar kecil: Tengku Harun, Fatimah)
Keadaan air surut dikatakan perkara biasa di sini. (Gambar kecil: Tengku Harun, Fatimah)
A
A
A

KAMPUNG RAJA - Fenomena air surut luar biasa yang dikatakan turut berlaku di Besut tiga hari lepas tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk yang tinggal di tepi pantai.

Walaupun pelbagai dakwaan disebarkan fenomena itu kononnya tanda akan berlaku tsunami dan bencana alam tetapi merencatkan sebarang aktiviti malah kehadiran pengunjung ke pantai perkelahan utama Pantai Keluang juga tidak terjejas.

Pantai Bukit Keluang adalah lokasi kejadian penomena air surut yang menjadi tular di laman sosial sejak tiga hari lepas selain di Dungun.

Namun menurut seorang peniaga makanan di pantai tersebut, Fatimah Abdul Rahman, 46, kejadian air surut seperti yang berlaku itu adalah perkara biasa .

Katanya, dia yang berniaga di pantai tersebut sejak tujuh tahun lepas sudah biasa melihat air surut seumpama itu dan ia bukan perkara yang luar biasa baginya.

“Pada hari berkenaan, air surut sekitar jam 10 hingga 11 pagi tapi pada sebelah petang air akan pasang kembali,” katanya yang menetap di Kampung Pengkalan Nyireh.

Fatimah berkata lagi, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan dengan kejadian tersebut kerana ia merupakan perkara biasa bagi penduduk tepi pantai.

Artikel Berkaitan:

Siti Farezan Hamat (kiri) tetap mengunjungi Pantai Bukit Keluang walaupun pelbagai dakwan kurang enak didengarinya.
Siti Farezan Hamat (kiri) tetap mengunjungi Pantai Bukit Keluang walaupun pelbagai dakwan kurang enak didengarinya.

Menurutnya, kehadiran pengunjung ke Pantai Bukit Keluang tidak terjejas dan tetap dipenuhi pengunjung pada Jumaat dan Sabtu seperti sebelum ini.

Sementara itu menurut Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut , Tengku Harun Engku Ismail pula, kejadian tersebut agak luar biasa dan jarang berlaku.

Katanya, sebelum ini walaupun air laut surut, namun tidak sampai peringkat seperti yang berlaku minggu lepas sehinggakan paras air berdekatan jeti pendaratan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Seberang Kastam turut surut.

“Seingat saya air tidak pernah surut sehingga sedemikian dekat jeti itu menyebabkan sebanyak enam buah bot nelayan terkandas.

“Malah ada nelayan yang melahirkan rasa bimbang kemungkinan akan berlaku kejadian tidak diingini ekoran fenomena tersebut,” katanya.

Bagaimanapun beliau berharap andaian kejadian itu petanda akan berlaku kejadian buruk hanya telahan semata-mata.

Tinjauan Sinar Harian di Pantai Bukit Keluang petang semalam mendapati paras air agak surut dan masih kelihatan beting pasir walaupun bukan seperti yang berlaku tiga hari lepas namun air mulai pasang sementara keadaan di jeti LKIM juga kembali normal.

Manakala aktiviti air di Pantai Bukit Keluang seperti ‘banano bot’ dan trip mengelilingi Pulau Rhu beroperasi seperti biasa.