TDM siasat punca kejadian tragedi anak AR Badul

Video kejadian tular di laman sosial hari ini.
Video kejadian tular di laman sosial hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan insiden kematian seorang pegawainya, Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 36 di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah pagi tadi.

TDM dalam satu kenyataan memaklumkan insiden tersebut berlaku sewaktu latihan demonstrasi keupayaan Tentera Darat semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Sabah.

“Latihan demonstrasi keupayaan berkenaan telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos yang lalu. Bagaimanapun, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut.

“Allahyarham merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka. Allahyarham yang merupakan bapa kepada lima anak berusia antara sembilan tahun hingga lima bulan dan berasal dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga wira negara itu dan menyifatkan pemergiannya adalah satu kehilangan kepada TDM.

“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian Allah SWT dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun ALLAH lebih menyayangi beliau. TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” menurut kenyataan itu.

Katanya lagi, TDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian menyebabkan kematian Mohd Zahir yang juga merupakan anak kepada pelawak terkenal, AR Badul.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anak AR Badul maut terkena tembakan