Suami isteri maut, anak parah motosikal dirempuh lori

Keadaan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan.
Keadaan motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa selepas terlibat kemalangan.
A
A
A

SUNGAI PETANI- Sepasang suami isteri maut manakala anak lelaki mereka cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori di Kilometer 99.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Sungai Petani Utara di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.50 malam itu, mangsa Jamaludin Musa, 51, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan isterinya Rapidah Ahmad @ Abdullah, 46, maut di tempat kejadian akibat kecederaan serius pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata kejadian itu dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang Jamaludin itu mengubah laluan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan lori terbabit gagal mengelak lalu merempuh mereka.

"Anak mereka, Muhammad A'tiqullah Jamaludin berumur 9 tahun mengalami cedera parah iaitu tangan kanan dan kirinya patah serta kecederaan dalaman di kepala," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata mayat pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini manakala Muhammad A'tiqullah juga menerima rawatan lanjut di hospital sama.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuklah bagi mengesan pemandu lori yang melarikan diri selepas kejadian berlaku," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: