Pekerja produktif bersara awal berisiko nyanyuk, murung

(Gambar kecil, Mohd Awang Idris)
(Gambar kecil, Mohd Awang Idris)
A
A
A

SHAH ALAM - Bersara pada usia awal boleh menyebabkan seseorang pekerja yang produktif berisiko tinggi untuk mengalami penyakit nyanyuk dan kemurungan.

Pakar psikologi pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, masalah kesihatan yang berlaku kepada pekerja terbabit akan menyebabkan kos untuk mendapatkan rawatan dan perubatan lebih tinggi serta membebankan kerajaan.

"Pada ketika ini jangka hayat rakyat di Malaysia sudah meningkat dan secara logiknya mereka masih boleh bekerja sehingga berusia 65 tahun dan mereka ini tidak boleh dianggap sudah terlalu tua.

"Generasi pada hari ini berbeza dengan dahulu kerana kebanyakan menggunakan pemikiran dan bukan fizikal. Ini menyebabkan mereka ini masih layak untuk bekerja," katanya ketika dihubungi SInar Harian, di sini semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan, kerajaan sedia meneliti cadangan menaikkan had umur bersara pekerja daripada 60 kepada 65 tahun seperti di beberapa negara maju ekoran cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Dalam pada itu, Mohd Awang berkata, majikan memilih seseorang pekerja bukan disebabkan oleh faktor usia tetapi lebih kepada kompetensi dan merit.

"Kita ambil contoh di negara Barat apabila ramai orang yang sudah berusia lanjut masih bekerja namun jumlah bayaran yang diterima adalah separuh daripada yang pernah mereka dapat dan waktu mereka bekerja juga singkat.

"Jadi kepakaran yang ada dalam golongan ini akan terus digunakan dan mereka tidak merasakan diri mereka ini tidak berguna lagi serta lebih dihargai. Saya fikir adalah pendekatan yang terbaik yang boleh dilaksanakan di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan akan teliti cadangan tingkat had umur persaraan

Umur dah 65, masih mampu kerja lagikah?