Umur dah 65, masih mampu kerja lagikah?

No Image Caption
A
A
A

DULU kerajaan tetapkan umur 55 tahun sebagai had umur persaraan kepada semua pekerja di negara kita. Selepas itu, had usia bersara wajib itu dinaikkan kepada 60 tahun.

Kelmarin, timbul pula cadangan untuk dinaikkan lagi kepada 65 tahun. Ia dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang memohon kerajaan memperkenalkan had umur bersara baharu menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan 11 Oktober ini.

Apabila ditanya mengenai cadangan tersebut, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran memberitahu, ia akan diserahkan kepada kementerian sebelum diputuskan.

Ketika cadangan menaikkan umur persaraan daripada 50 kepada 55 tahun, rakyat jelata secara umumnya tidak membantah sebaliknya menyokong kerana menyedari fizikal mereka masih sihat lagi bertenaga.

Begitu juga pada tahun 2011 apabila kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan had umur bersara dari 55 kepada 60 tahun.

Pada ketika itu, kebanyakan rakyat jelata bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan itu kerana ia boleh mengurangkan bebanan kewangan mereka selain yakin terhadap tahap kesihatan masing-masing.

Tetapi bagaimana pula dengan kali ini apabila dinaikkan kepada 65 tahun? Usia 55, masih boleh tahan; 60, masih terdaya lagi selagi ada kemahuan. Umur 65? Mesti kita bertanya kepada diri sendiri: tua-tua masih boleh kerja lagikah?

Lihatlah negara jiran kita, Singapura. Ramai warga emas yang berumur lebih 60 tahun dilihat masih tekun bekerja tak kiralah sebagai tukang sapu di pusat beli-belah, pemandu teksi ataupun penjaja di tepi jalan.

Artikel Berkaitan:

Janganlah cepat rasa tua dan anggap diri tidak berguna. Berbanding dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudah berusia 94 tahun, apakah kita mahu mengaku sudah tua dan sudah tidak larat nak kerja sedangkan umur pun belum mencecah 65 tahun?