Pakej 5 CSR laluan Raub-Bentong dijangka siap September 2020

Mohd Anuar (lima, kiri) bersama Wong Tack (tujuh, kiri), Young Shefura (enam, kiri) dan Chin Chen (empat, kiri) selepas lawatan kerja di Pakej 5 Projek CSR di Mempaga, hari ini.
A
A

BENTONG- Projek Central Spine Road (CSR) Pakej 5 iaitu Raub ke Bentong yang bakal siap pada September 2020 dijangka dapat mengatasi kesesakan trafik khususnya ketika waktu puncak seperti musim perayaan.

Pakej membabitkan kos RM631.98 juta dengan jarak sejauh 54 kilometer (km) itu kini sudah siap sebanyak 87 peratus adalah usaha kerajaan bagi keselamatan dan keselesaan pengguna sebagai laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir berkata, beliau berpuas hati dengan perjalanan projek tersebut namun dalam tempoh sama mengharapkan ia dapat disegerakan demi kemudahan pengguna.

Menurutnya, projek tersebut mendapat perhatian dan keutamaan kerajaan sebaik pemerintahan negara berubah.

"Projek CSR ini sangat penting dan diberikan keutamaan serta menyambungkan kerja-kerja sebelum ini untuk mematuhi jangka masa dan kalau boleh ia dapat dipercepatkan.

"Kita tahu keluhan pengguna. Anak-anak di perantauan kembali ke kampung, jadi ia untuk keselesaan dan keselamatan pengguna terutamanya waktu puncak seperti musim perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di tapak pakej tersebut di Mempaga di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tuck, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Shefura Othman dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen.

Menyifatkan perjalanan projek CSR itu di landasan yang tepat, beliau juga memberitahu dijangka 1 juta pengguna dari Lembah Kelang akan menggunakan laluan daripada projek tersebut.

Projek CSR membabitkan enam pakej utama melibatkan peruntukan RM11 bilion dengan jarak sejauh 351.3 km dari Kuala Krai, Kelantan hingga Simpang Pelangai, Bentong telah dimulakan secara berperingkat mulai 2015.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia