Pekerja sangkar ikan ditahan APMM

Sangkar ikan yang terletak lebih kurang 0.3 batu nautika dari Timur Pulau Jerejak. (Kanan: Dua pekerja sangkar ikan warga Thailand yang ditahan APMM.)
Sangkar ikan yang terletak lebih kurang 0.3 batu nautika dari Timur Pulau Jerejak. (Kanan: Dua pekerja sangkar ikan warga Thailand yang ditahan APMM.)
A
A
A

GEORGETOWN - Dua pekerja sangkar ikan warga Thailand ditahan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kerana didapati tidak mempunyai permit kerja.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, kedua-dua lelaki warga Thailand itu ditahan di kawasan sangkar ikan pada jarak 0.3 batu nautika dari Timur Pulau Jerejak jam 10 pagi semalam.

"Pemeriksaan mendapati dua lelaki berumur 20 dan 26 tahun yang bekerja di atas sangkar ikan tidak mempunyai permit sah untuk bekerja di negara ini.

"Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan serta tindakan lanjut,” katanya, di sini hari ini.

Hamizan berkata, kedua-dua pekerja asing terbabit akan disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000.00 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu Hamizan berkata, pengusaha sangkar ikan diingatkan agar membuat permohonan permit kerja untuk pekerja mereka dengan Jabatan Imigresen sebagai pas untuk bekerja di Malaysia.

Katanya, APMM Pulau Pinang akan sentiasa membuat pemantauan dan rondaan dengan lebih kerap bagi membanteras kegiatan pendatang asing tanpa izin di perairan Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan: