Lelaki maut ditikam dengan gunting

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati selepas bergaduh dengan rakan serumahnya di sebuah rumah kedai di Laluan Sri Pengkalan 1, Pusing, di sini, petang semalam.

Mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di salah sebuah kilang perabot di Pusing dipercayai ditikam menggunakan gunting oleh suspek yang juga rakan senegaranya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang selepas anggota Balai Polis Pusing menerima panggilan memaklumkan berlakunya pergaduhan melibatkan warga Myanmar.

"Siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya menyewa di rumah kedai berkenaan dan mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam bilik pertama di premis tersebut.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berpakaian lengkap dan terdapat kesan darah di bahagian dada," katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak mendapati, terdapat satu kesan tikaman di bahagian kiri dada.

"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian turut menjumpai senjata iaitu gunting di lokasi kejadian dipercayai digunakan oleh suspek.

"Mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat dan doktor pakar bertugas mendapati punca kematian akibat tusukan objek tajam ke bahagian dada si mati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Adnan, gerakan memburu rakan mangsa yang juga suspek kejadian sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pihak polis di talian 05-3629222.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.