JPJ tubuh pasukan khas atasi ketirisan kutipan hasil LKM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan pasukan khas bagi menyelesaikan isu ketirisan kutipan hasil Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang berleluasa di negara ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, isu ketirisan tersebut adalah melibatkan urus niaga pembaharuan LKM Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi yang dimanipulasikan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kegunaan di kawasan Semenanjung Malaysia.

"Objektif pasukan khas ini adalah untuk mewujudkan mekanisme berkesan dalam menangani isu ini daripada berterusan.

"Berdasarkan Laporan Audit Dalaman Kementerian Pengangkutan dan analisis JPJ dengan mengambil kira rekod urus niaga pembaharuan LKM yang telah dijalankan, ketirisan hasil yang berlaku adalah mencecah RM50 juta bagi tempoh urus niaga dari Januari sehingga Ogos 2019," katanya.

Selain itu, berdasarkan rekod JPJ juga mendapati lebih 50 peratus urusniaga pembaharuan LKM yang dilakukan di Sabah, Sarawak, Pulau Labuan dan Langkawi adalah melibatkan kenderaan yang didaftarkan serta digunakan di luar kawasan wilayah tersebut.

Sementara itu, urus niaga pembaharuan LKM bagi semua jenis kenderaan dan kapasiti enjin adalah berjalan seperti biasa di semua pejabat JPJ serta rakan niaga yang lain.

"JPJ memandang serius perkara ini dan berusaha untuk memantapkan integriti penyampaian perkhidmatan khusus bagi aktiviti kutipan hasil demi kebaikan masyarakat dan negara," katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan bersedia meneliti semula arahan pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan melibatkan kenderaan persendirian 2,000cc ke atas di pejabat pos Sarawak, Sabah, Pulau Langkawi dan Labuan yang berkuat kuasa kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Ia dilakukan selepas JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit.

Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial minggu lepas.

Perkara itu mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta menambah kesesakan di pejabat JPJ dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).