X

Kindly register in order to view this article
!

Dua beranak rentung kemalangan

Keadaan kereta dan lori yang terbabit kemalangan dan terbakar lewat malam tadi. - Foto bomba
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] Seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan bapanya rentung selepas kenderaan dinaiki mereka bersama dua lagi ahli keluarga merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 9.2 Lebuhraya Latar arah Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Mangsa yang rentung dalam kejadian jam 11.50 malam itu ialah pemandu kereta Proton Persona iaitu, Muhd Ridzo Fadzly Bin Rosely, 37, dan anaknya, Ahmad Ariffin, 2.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, semasa kejadian pemandu bersama isteri dan dua anak mereka dari Kedah menghala ke Kuala Lumpur.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terperosok di belakang treler tersebut," katanya.

Keadaan kereta dan lori yang terbabit kemalangan dan terbakar lewat malam tadi. - Foto bomba
Keadaan kereta dan lori yang terbabit kemalangan dan terbakar lewat malam tadi. - Foto bomba

Beliau memberitahu, kejadian itu mengakibatkan Proton Persona terbabit terbakar, manakala treler terbabit terbakar bahagian belakang.

"Akibat kemalangan itu, mangsa bersama anaknya yang duduk di tempat penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala dua penumpang belakang iaitu isteri mangsa, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, dan anak mereka, Danish, 2, sempat dibawa keluar dari kenderaan mereka lalu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Mangsa tersepit dikeluarkan dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Rawang," katanya.

Menurut beliau mangsa yang rentung dalam kemalangan itu dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

"Pemandu treler berusia 47 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1) APJ 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

Menurutnya, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dan BBP Rawang bergegas ke lokasi.

"Dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta rentung manakala dua lagi penumpang sempat dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.