Pandangan Mohamed Khaled sangat selektif: Sheikh Umar

Sheikh Umar
A
A

JOHOR BAHRU - Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali menyifatkan pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai sangat selektif.

Menurutnya, Mohamed Khaled lebih gemar mencari kelemahan dan 'menjualnya' sebagai publisiti murahan berbanding tampil memberi pandangan untuk membantu menyelesaikan 'bala' diwarisi daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sedang membelenggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak memerintah 15 bulan lalu.

"Beliau juga enggan melihat prinsip dasar dalam kerangka lebih besar yang ingin diperkenalkan oleh PH dalam konteks mengeluarkan Malaysia dari kleptokrasi tinggalan UMNO.

"Dalam siri-siri serangan beliau, beliau begitu ghairah. Sebaliknya, Khaled enggan menerima fakta dan hakikat bahawa pelbagai perkembangan yang memberangsangkan telah dilakukan oleh kerajaan PH," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Khaled terhadap Kit Siang.

Sheikh Umar berkata, sebagai contoh, Mohamed Khaled enggan menerima hakikat bahawa kos projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat dijimatkan sebanyak RM25.1 bilion hasil rundingan semula kerajaan PH dengan pihak China.

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan sahaja retorik Malaysia Baharu: Khaled

Katanya, bekas Menteri Besar Johor itu juga enggan menyebut, apatah lagi bersyukur apabila kos projek Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dapat menjimatkan wang rakyat sebanyak RM8.8 bilion.

"Khaled juga tak mahu menyebut bahawa kos projek LRT3 (Transit Aliran Ringan 3) juga berjaya dijimatkan oleh kerajaan PH sebanyak RM15 bilion.

"Dalam semua perkembangan ini, Khaled juga enggan menerima hakikat bahawa laporan jumlah hutang yang ditanggung oleh kerajaan PH yang diwariskan oleh UMNO itu jauh lebih besar dari yang dijangkakan," katanya.

Beliau berkata, semua fakta itu tidak ada nilai bagi seorang pemimpin seperti Mohamed Khaled, sebaliknya lebih ghairah 'melihat dari dalam tempurung' seolah-olah PH terlalu naif untuk mentadbir.

"Justeru, ada baiknya Khaled berlaku adil kepada diri dan parti beliau sendiri. Itu sahaja nasihat kecil daripada saya insan kerdil ini. Saya tak minta pun Datuk Seri Khaled bersara," katanya.

Semalam, media melaporkan saranan Mohamed Khaled kepada Kit Siang agar melupakan sahaja retorik Malaysia Baharu susulan luahan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam sebuah portal berita bertajuk 'Patutkah Saya Lupakan Malaysia Baharu dan Berundur'.

Dalam kenyataan tersebut, Mohamed Khaled turut menyarankan Kit Siang agar berundur dengan alasan Malaysia memerlukan kesegaran baharu.