Lupakan sahaja retorik Malaysia Baharu: Khaled

Mohamed Khaled
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyarankan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang melupakan sahaja retorik Malaysia Baharu.

Saranan itu dibuat berikutan keluhan dan kekecewaan Kit Siang dalam sebuah portal berita bertajuk 'Patutkah saya lupakan Malaysia Baharu dan berundur' bertarikh 28 Ogos lalu.

Mohamed Khaled berkata, Kit Siang sudah pasti sedar bahawa Malaysia Baharu itu tidak diasaskan pada pemikiran politik yang sebenar.

"Pertama, tiada yang baharu tentang Malaysia selepas kemenangan PH. Kedua, saya ingin mengingatkan YB (Yang berhormat) bahawa DAP selalu menggunakan alasan yang suhu perkauman di Malaysia semakin meningkat kerana pihak tertentu menggunakan sentimen perkauman," katanya.

Mohamed Khaled berkata, tiada Malaysia Baharu atau Malaysia Lama bagi rakyat di negara ini sebaliknya hanya Malaysia.

"Berundurlah YB. Malaysia memerlukan kesegaran baharu," katanya.

Beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin lain menyumbang mencorakkan politik Malaysia tetapi negara ini memerlukan pelapis dan bukan legasi dua pemimpin itu.

"Kalau Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand hatta Vietnam sudah ada generasi pemimpin baharu, mengapa kita masih lagi bergantung harap pada sang negarawan yang dari generasi pertama," katanya.

Mohamed Khaled turut mengingatkan Kit Siang bahawa Malaysia perlukan bukan sekadar menukar nama.

"Tetapi melebar makna dan menebar pesona. Itu bukan sesuatu yang anda fahami. Apatah lagi miliki," katanya.