Penduduk sedia hadapi bekalan air berjadual

Junaidah menyimpan air secukupnya bagi menghadapi bekalan air berjadual bermula hari ini.
Junaidah menyimpan air secukupnya bagi menghadapi bekalan air berjadual bermula hari ini.
A
A
A

PONTIAN - Penduduk di kawasan utara Pontian bersiap sedia menghadapi gangguan bekalan air bermula hari ini susulan paras air di Empangan Machap berada di tahap kritikal.

Notis bekalan air berjadual yang dikeluarkan minggu lepas membolehkan penduduk menyediakan simpanan bekalan air secukupnya.

Malah, rata-rata penduduk sudah membuat persiapan sejak seminggu lalu sebaik notis berkenaan dihebahkan membabitkan 36 jam ada air dan 36 jam tiada air.

Suri rumah, Junaidan Aspan, 60 berkata, bekalan air disimpan di dalam tong yang telah dibeli lebih awal bagi menghadapi catuan air.

Katanya, bilangan ahli keluarga yang tidak ramai di rumahnya di Mukim Api-api dekat sini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya.

"Dalam rumah, hanya tinggal saya dan suami. Anak-anak sudah berkeluarga, ada yang menetap di Pontian dan di luar.

"Menerusi notis yang dikeluarkan, bekalan air berjadual difahamkan selama sebulan. Sudah pasti situasi ini membimbangkan sebab dalam tempoh yang agak lama," katanya.

Katanya, bagi yang mempunyai anak kecil atau anak yang bersekolah bekalan air amat penting terutama ketika musim panas pada masa sekarang.

Artikel Berkaitan:

Peniaga makanan, Ali Yahya, 56, berkata, perniagaannya tetap akan dibuka seperti biasa meskipun berlaku gangguan air.

“Maklumat tentang catuan bekalan air sudah diberitahu awal, jadi boleh simpan air secukupnya.

"Jika maklumat diberikan dalam tempoh singkat mungkin ia mendatangkan masalah kepada orang ramai," katanya.

Bermula hari ini, bekalan air berjadual melibatkan 25,894 akaun pengguna sekitar Pekan Simpang Renggam, Layang-Layang dan Utara Pontian akan dilaksanakan.

Pelaksanaan itu meliputi kawasan seluruh Jalan Benut-Pontian, Jalan Parit Betak, Benut, Jalan Parit Ismail, Jalan Madirono-Makasar, Jalan Parit Panjang, Sanglang, Ayer Baloi, Pulai Sebatang dan sebahagian Api-Api.